Pengaruh Kerajaan Majapahit di Malaysia

Majapahit (1293 – 1478) yang mempunyai pengaruh terhadap perjalanan Sejarah Malaysia


Oleh Ahmat Adam
Selama ini tiidak ramai orang Malaysia yang sedar bahawa terdapat babak tertentu dalam sejarah Malaysia kuno yang menunjukkan peranan kuasa luar seperti Majapahit. Baru-baru ini saya berkesempatan melawat daerah Trowulan di Jawa Timur yang pada suatu waktu merupakan situs kerajaan Majapahit.

Asal nama Majapahit

Menurut tradisi lisannya, nama kerajaan Majapahit itu berpunca daripada peristiwa Raden Wijaya beristirahat di bawah sebatang pohon bernama “Maja” (Mojo) yang banyak tumbuh di daerah yang bernamaTarik. Kononnya, salah seorang pengawal Raden Wijaya telah memetik buah “maja”, lalu memakannya. Tetapi oleh kerana rasa buah itu sangat pahit dia pun memuntahkannya; lagipun buah itu menyebabkan perajurit itu mabuk. Daripada peristiwa inilah Raden Wijaya menamakan daerah hutan Tarik yang terletak di pinggir Sungai Brantas itu “Majapahit”. Mitos ini jugalah yang telah memberi ilham kepada pengarang asal “Sejarah Melayu” untuk menulis kisah bagaimana asalnya negeri Melaka dibuka, iaitu berasaskan nama kayu rendang tempat Raja Iskandar Syah berdiri, yang benama kayu “Melaka”. Ini berlaku semasa pelanduk putih menerjunkan anjing perburuan raja. Jika hutan Tarik di Jawa itu dikatakan terletak di tepi Sungai Brantas, maka Raja Iskandar Syah pula dikatakan berjalan ke tepi pantai, iaitu pada sebuah sungai bernama Bertam di tepi laut.

Sekarang ini jika anda berkunjung ke daerah Trowulan yang terletak di kabupaten Mojokerto anda boleh melawat “Muzium Majapahit” yang mempunyai koleksi terbesar mengenai tinggalan-tinggalan sejarah kerajaan Majapaht. Trowulan adalah situs kota Majapahit yang meliputi kawasan seluas 11 km x 9 km. Situs ibu kota kerajaan Majapahit itu dibina atas rupa bumi yang datar di kaki tiga buah gunung, iaitu Penanggungan, Welirang dan gunung Anjasmara. 

Di kawasan muzium Majapahit itu anda akan dapat melihat rupa buah dan pohon yang dikenali orang Jawa Timur sebagai “mojo” (atau “maja”). Rupa buah “maja” ini seperti epal yang besar. Namun saiz paling besar berukuran seakan-akan buah “limau bali” atau “limau abong”. Dalam kawasan luas muzium itu memang terdapat beberapa pohon “mojo” yang sentiasa berbuah. Daripada nama “mojo” ini sampai sekarang masih terdapat nama kota/daerah yang berprefikskan kata “mojo” seperti Mojokerto, Mojowarno, Mojoagung, Mojojejer, Mojotengah, Mojotrisno, dan Mojongapit.

Pohon Maja (Mojo) dan buahnya yang pahit

Di Trowulan, muzium Majapahit yang besar itu memuatkan berbagai artifak arkeologi seperti arca dan patung, serpihan tembikar dan barangan logam yang berupa tinggalan kerajaan Majapahit. Juga terdapat di kawasan Trowulan itu situs arkeologi yang menunjukkan tanda-tanda tapak yang masih atau sedang digali. 

Pengasasan kerajaan Majapahit


Pengasas kerajaan Majapahit ialah Raden Wijaya (juga disebut Dyah Wijaya). Dia telah mengasaskan kota Majapahit di wilayah hutan Tarik (berhampiran pelabuhan Canggu) pada tahun 1293 selepas jatuhnya kerajaan Singasari,. Tetapi dari segi pemerintahannya mahupun dari sudut susur-galur raja-rajanya, kerajaan Majapahit adalah merupakan kesinambungan daripada kerajaan Singasari. Nama lengkap Raden Wijaya menurut prasasti Kudadu yang bertarikh 1126 Saka atau 1204 Masehi ialah Nararya Sanggramawijaya. Tetapi Raden Wijaya hanya baru dinobatkan sebagai Raja Majapahit pada tahun 1294. Menurut kitab “Pararaton” dia memerintah sampai ke tahun Saka 1267 atau 1345 Masehi. Tetapi menurut “Nagarakertagama” (yang dikarang oleh Prapanca pada tahun 1365) Raja Kertarajasa atau Raden Wijaya mangkat pada tahun 1231 Saka bersamaan 1309 Masehi. Dia didharmakan (dikuburkan) di Simping iaitu di Candi Sumberjati (di daerah Blitar). Kuburnya itu bersifat Çiwaistis (Sivaistic). 

Nama Raja Majapahit pertama ini ada kaitan penting dengan hubungan Jawa dengan Semenanjung Melayu, khasnya Terengganu, dan hubungan ini bertambah kukuh lagi pada era suku kedua abad ke-14 iaitu ketika Patih Gajah Mada dilantik oleh raja Majapahit, Bhre Kahuripan, memegang jawatan Patih Amangku Bumi dari sekitar 1331 – 1364 Masehi. Perdana Menteri itu telah mengamalkan dasar perluasan wilayah yang menyebarkan pengaruh kerajaan Majapahit sampai ke Semenanjung Melayu. Dalam “Nagarakertagama”, pupuh XIV (2), Prapanca menyebutkan bahawa Pahang, Hujung Medini (wilayah Johor sekarang), Langkasuka, Saimwang (tempat ini tidak diketahui dengan jelas di mana letaknya), Kelang, Kedah Jerai, dan Kanjapiniran (yang juga tidak diketahui dengan jelas letaknya), Kelantan, Paka, Muwar (sic), Dungun, Tumasik dan Sang Hyang Hujung adalah wilayah bawahan Majapahit. Di antara wilayah-wilayah ini Terengganu adalah wilayah yang menarik dari segi hubungannya dengan Majapahit. Kata “Terengganu” yang dipakai dewasa ini adalah bentuk tercemar daripada kata Kawi (asal Sanskrit), “taranggana” yang bererti bintang atau sekelompok bintang. 

Menurut lidah Jawanya “taranggana” disebut “taranggano”. Berdasarkan batu bersurat Terengganu yang ditemui di Kuala Berang, ternyata kewujudan hubungan dengan Jawa telah terbukti daripada tarikh yang terukir pada batu bersurat itu – iaitu 708 Hijrah atau 1308 Masehi. Sistem kalendar Jawa dan ayat-ayat dan kata-kata Kawi yang terlihat digunakan oleh pemahat batu bersurat Terengganu itu menunjukkan adanya pengaruh Jawa. Khusus tentang batu bersurat dan pengaruh kebudayaan Jawa yang tertera dalam tulisan Jawi pada batu bersurat itu akan saya bincangkan dalam karya saya mengenai batu bersurat tersebut; karya ini bakal diterbitkan dalam masa terdekat.


Seyogia diperhatikan ialah betapa pengaruh kebudayaan Jawa dapat dilihat di pantai timur Semenanjung sampai kini. Ciri rasa manis makanan di Kelantan misalnya sama seperti di Jawa. Juga istilah Jawa “punggawa” (yang dalam bahasa Kawi bererti ketua atau pemimpin), juga dipakai di Kelantan tetapi dengan erti ketua daerah atau kampung, atau penghulu.


Baru-baru ini ketika saya berkunjung ke Surabaya, saya diberitahu bahawa di daerah Jawa Timur istilah “nasi kerawu” yang mempunyai ramuan resep (recipe) yang sama dengan “nasi kerabu” memang terkenal dalam masyarakat Jawa Timur. Dari segi sebutan linguistik hal ini tidak mengherankan kerana fonem [w] dan [b] memang boleh bertukar ganti dalam bahasa Jawa dan Melayu seperti kata “wulan” disebut “bulan”, “wayang’ disebut “bayang” dan “wujang” (yang bererti lelaki atau perempuan muda yang belum kahwin) disebut “bujang” dalam sebutan Melayu.



Sebagai penutup, saya fikir sudah tiba masanya ahli-ahli sejarah tanah air memberikan perhatian kepada sejarah kuno mengenai hubungan kuasa luar dengan wilayah-wilayah yang kini berada dalam gabungan kerajaan yang bernama Persekutuan Malaysia. Selain wilayah Semenanjung Malaysia, kawasan sepanjang Sungai Kaluka di selatan Sarawak dan Malano (Melanau), serta Sedu, juga di Sarawak, tercatat di dalam “Nagarakertagama” sebagai “mandala” atau wilayah bawahan Majapahit. Gambar di bawah menunjukkan pohon "maja" dan buahnya yang pahit.


Share this

Related Posts

close