Perbedaan Islamisasi dan Arabisasi


Note: Ini ialah sebuah artikel terbuka dan mengajak pembaca untuk memberikan sebuah pikiran dan pandangan masing-masing. Seringkali kita bertanya apa itu Islamisasi atau Arabisasi dan apa perbedaan di antaranya. Saya beri contoh apa perbedaan keduanya daripada sudut pandang saya sendiri:

ISLAMISASI:
Proses Islamisasi ialah proses membersihkan elemen di dalam budaya yang bertentangan dengan syariat. Ianya tidak menghapuskan total budaya itu tetapi menambah nilai, memperbaiki dan menjadikan budaya itu 'syariat compliant'. Contoh busana Melayu yang dimasukkan ke elemen kepahaman Islam seperti baju Melayu yang menandakan 5 Rukun di dalam agama Islam.

ARABISASI:
Proses menghapuskan / menghina budaya suatu bangsa yang tidak melanggar syariat dengan niatan menggantikannya dengan budaya Arab. Contoh mempromosikan penggunaan jubah dan pada waktu yang sama memperjelekkan penggunaan busana Melayu.

saya mengambil contoh jubah Arab vs busana Melayu, eloknya saya rincikan lagi masalah ini.
1. Adakah memakai jubah itu salah untuk orang Melayu..?
Jawabannya adalah TIDAK SALAH. Saya juga berjubah mengikuti kesesuaian di dalam majlis dan keadaan. Ini karena di dalam Al-Quran ada menyebut mengenai Pakaian Indah dan Pakaian Taqwa. Pemakaian di dalam Islam ialah penting. Islam mementingkan umatnya supaya sentiasa kelihatan segar dan bersih di dalam melaksanakan sesuatu.

Contohnya, jika memakai kemeja, blazer dan tali leher di dalam pertemuan menjadikan anda dapat menjiwai dan menjalankan tanggungjawab pertemuan dengan baik, maka ianya tidak salah sebagai pakaian itu menutup aurat. Sama juga jika anda merasakan dengan memakai jubah di dalam majlis keagamaan itu anda lebih dapat menjiwai majlis dan tanggungjawab anda, maka silakan saja.

2. Makanya apa yang salah..?
Yang menjadi kesalahan, pada saya, adalah apabila anda menghukum seseorang itu kurang Islamnya karena dia tidak mengenakan jubah contoh : walaupun pakaian seseorang menutup aurat. Dan menjadi kesalahan apabila ada yang mencemooh seseorang itu apabila dia lebih nyaman mengenakan jubah walaupun majlis yang dihadiri itu bukan majlis agama.

3. Apakah yang sebenarnya penting di dalam Islam mengenai pakaian..?

ialah, pemakaian di dalam Islam terdapat 3 ciri penting ini:
  1. Bersih dari kotoran dan najis.
  2.  Menutup aurat.
  3. Mengikuti pada tempat dan cara.

Antara yang menjadi perdebatan di dalam Islamisasi dan Arabisasi adalah ketidak bolehan kita dalam membedakan antara budaya dan gaya hidup dengan sunnah. Baginda Rasul SAW ialah contoh terbaik dengan uswatul hasanah (budi pekerti yang baik) baginda sebagai pedoman kepada umat Islam seantero dunia. Kita sebagai umat Islam sebaiknya coba mencontohi baginda di dalam perlakuan dan tutur kata. Namun begitu, kita juga harus jelas apakah itu gaya hidup yang sopan dan beradab dengan sunnah baginda.

Contoh antaranya yang dikatakan sunnah itu adalah sunnah baginda memakan menggunakan 3 jari. Baginda Rasul memakan kurma dan roti. Ini adalah makanan masyarakat Arab pada ketika itu. Baginda menekankan gaya makan yang sopan dan beradab. Ini adalah inti ajaran baginda. Bukankah kurang beradab dan sopan jika mengambil kurma dengan 5 jari. Tangan kita yang kita masukkan ke dalam mulut terkena makanan lain di dalam mangkuk yang kita bagi bersama orang lain. Makanan kita pula adalah nasi dan makanan berkuah. Bukankah sulit jika mahu menyuapkan nasi dengan 3 jari. Apatah lagi jika mau memakan sesuatu yang berkuah.

Sekali lagi, apa yang baginda cuba sampaikan kepada umatnya adalah:
  1. Makan dan minum dengan beradab dan sopan.
  2. pikirkan juga orang lain apabila makan. Jangan kotorkan dengan perbuatan kita.
  3. Jangan membiarkan makanan terkena bakteria dari tangan kita.
  4. Ambil sedikit dulu dan jangan mubasirkan makanan.

Banyak lagi amalan dan perbuatan baginda yang terkandung seribu satu pelajaran yang boleh kita rangkaiakan jika kita mengkaji dengan lebih mendalam. Banyak perbuatan dan perlakuan baginda yang mengandungi pelajaran dibalik permukaan semata-mata. Bukankah Akhlak baginda itu Al-Quran dan Al-Quran juga perlu dikaji secara mendalam dan tidak diambil dari permukaan semata-mata..?

Intinya, kita sebagai umat Islam perlu jelas apakah sesuatu itu adalah dari ajaran Islam (Islamisasi) atau kebudayaan Arab (Arabisasi).Islam itu melestarikan budaya, melengkapinya dan membersihkannya dari elemen yang bertentangan dengan syariat. Bukan menghapusnya.




Share this

Related Posts

close