Legenda Terrunggari Si Buaya Kinabatangan

                           


BILA berbicara soal cerita legenda sang bedal mesti ramai diantara kita mengaitkannya dengan satu cerita sang bedal yang gah namanya iaitu Bujang Senang mahupun koncon-konconya yang lain seperti Bujang Seblak dan banyak lagi. Disebalik pelbagai versi cerita legenda sang bedal jangan pula lupa bahawa di Sungai Kinabatangan, Sabah juga tidak kurang hebatnya dengan buaya mereka yang sudah tentu ganas dan saban tahun menuntut jiwa manusia menjadi mangsanya.

Cerita legenda buaya putih Kinabatangan mungkin tidak popular di kalangan kita tetapi ada satu yang istimewa apabila berkata mengenai si buaya putih ini. Istimewanya buaya putih ini kerana menurut kepercayaan masyarakat di Kinabatangan, ianya boleh berkomunikasi dengan manusia. Dikatakan zaman dahulukala penghidupan buaya dan manusia di sepanjang sungai Kinabatangan tiada masalah kerana mereka berkongsi satu sungai yang sama.

Alkisahnya beratus-ratus tahun dahulu di Sungai Kinabatangan ada seekor buaya putih yang menjadi ketua segala buaya di sungai tersebut. Buaya jantan itu bernama Terrunggari dan ianya amat dihormati oleh sang buaya mahupun manusia. Diperkira pada waktu itu sebarang percanggahan antara manusia dan buaya kebiasaannya akan dirujuk kepada Terrunggari untuk mencari jalan penyelesaian. Begitulah betapa aman damainya penghidupan di Sungai Kinabatangan pada waktu itu.

Pada suatu hari luar dari kebiasaan dikatakan Terrunggari telah menculik seorang budak lelaki yang sedang mandi manda di sungai. Kejadian tersebut amat menggemparkan penduduk namun tiada apa yang boleh dilakukan kerana Terrunggari adalah buaya yang bersaiz besar dan gagah. Penduduk di tepi sungai hanya mampu melihat budak lelaki itu dibawa pergi oleh Terrunggari ke satu lokasi yang tidak diketahui.

Namun disebalik segala pemahaman penduduk kampung bahawa budak lelaki itu telah dibaham Terrunggari sebenarnya amat meleset sama sekali. Ini kerana hakikatnya budak lelaki tersebut langsung tidak dicederakan malah dijaga sebaiknya oleh Terrunggari dan apabila tiba di satu lokasi, telah diletakkan di atas batu. Sebenarnya tujuan Terrunggari menculik budak lelaki itu adalah sebagai saksi pertarungannya. Pertarungannya dengan seekor buaya air masin yang bernama Berlintang.

Berlintang dikatakan seekor buaya air masin yang bersaiz besar dan juga tidak kurang gagahnya mendominasi kawasan air masin. Dialah yang dikatakan ketua buaya air masin di kawasan Kinabatangan yang sentiasa digeruni kerana keganasan dan gemar memakan haiwan mahupun manusia sekiranya berpeluang. Dan pada waktu itu dikatakan Berlintang amat memusuhi Terrunggari kerana dominasinya tidak boleh melampaui Sungai Kinabatangan yang berair tawar.

Egonya si Berlintang kerana ingin meluaskan wilayahnya menyebabkan dia mencabar Terrunggari untuk membuat perhitungan. Cabaran si Berlintang disahut oleh Terrunggari kerana dia harus menjaga maruahnya sebagai ketua buaya di Sungai Kinabatangan. Maka ditetapkannya waktu untuk bertarung dan sebelum mereka berdua memulakan pertarungan, Terrunggari telah awal-awal memberikan amanat kepada budak lelaki yang menjadi saksi pertarungan mereka.

Terrunggari berpesan untuk budak lelaki itu betul-betul memerhati buih yang membuak di kawasan pergaduhannya. Ini kerana sekiranya darah putih yang muncul dari sungai ini bermakna Terrunggari telah kalah dan Berlintang yang menang. Dan sekira ianya berlaku maka budak lelaki itu harus beredar dengan segera dan memberitahu setiap ketua penduduk kampung yang tinggal di tepi sungai untuk tidak mendekati sungai lagi. Ini kerana apabila Berlintang sudah menguasai sungai Kinabatangan bermakna manusia dan haiwan akan menjadi sasaran makanannya.

Usai memberi amanat barulah Terrunggari dan Berlintang memulakan rentak pertarungan. Satu pertarungan 2 ekor buaya yang bersaiz besar dan masing-masing mempunyai kelebihan. Akhirnya pada satu ketika darah merah yang muncul dipermukaan air. Budak lelaki yang berdiri dan khusyuk menyaksikan pertarungan itu mengetahui bahawa Terrunggari telah menang di dalam pertarungan kerana darah merah itu milik si Berlintang, si buaya air masin.

Dengan kemenangan Terrunggari itu bermakna sekali lagi Sungai Kinabatangan aman damai dengan manusia dan buaya hidup saling memahami antara satu sama lain. Bezanya sekarang, buaya di Sungai Kinabatangan seringkali menjadikan manusia sasaran selera mereka. Mungkin juga si Terrunggari sudah dikalahkan oleh suku sakat si Berlintang iaitu buaya ganas air masin sehingga membenarkan ianya berlaku.


Sejauhmana kebenarannya tidaklah diketahui kerana apabila berkata mengenai cerita legenda hanyalah satu cerita yang penuh mitos dan simbolik. Dan ianya juga mempunyai pelbagai versi kerana dipertuturkan secara oral dari satu generasi ke generasi di kalangan masyarakat yang menghuni Sungai Kinabatangan.


Share this

Related Posts

close